Kosmo!, 29 Januari 2009
Menjadi mercu tanda baru di Petaling Jaya, Tropicana City Mall merupakan gedung beli-belah serba lengkap untuk seisi keluarga.
RENTAK baru mungkin adalah gambaran terbaik untuk kompleks beli-belah Tropicana City Mall (TCM), Petaling Jaya yang dijangka menjadi tarikan utama penduduk sekitar lembah Klang.
Kompleks yang beroperasi sejak sejak 18 Disember lalu itu dilihat bakal menjadi pesaing baru kepada gedung beli-belah sedia ada. Pemilihan lokasinya amat strategik iaitu berhampiran dengan ruang pejabat dan terletak di sekitar kawasan perumahan.
Pengurus Besar Pemasaran TCM, Mabel Tan berkata, TCM mempunyai keunikan tersendiri bukan sahaya dari segi kemudahan yang disediakan, malah pembukaan premis-premis perniagaan yang tidak mempunyai cawangan di tempat lain.
![]() |
ANTARA outlet yang boleh dikunjung pelanggan. |
"Kompleks beli-belah ini mempunyai sembilan premis baru yang belum dibuka di tempat lain.
"Jadi inilah antara tarikan Tropicana City Mall, manakala sasaran pelanggannya pula terdiri daripada golongan pertengahan dan atasan," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tan berkata, hampir semua jenis perniagaan di kompleks itu berasaskan barang dan keperluan berjenama yang bermutu tinggi bagi memenuhi kehendak golongan tersebut.
Malah, pengunjung juga tidak perlu ke lokasi lain sekiranya ingin mendapatkan barangan basah atau kelengkapan rumah yang lebih murah kerana aras bawah TCM turut menyediakan pasar raya besar Carrefour.
![]() |
TERDAPAT beberapa ruang hiburan untuk kanak-kanak bermain. |
"Saya yakin butik baju dan kedai-kedai di sini membantu orang ramai mendapatkan apa produk terbaru," ujarnya.
![]() |
RUANG legar utama yang dihias sempena Tahun Baru Cina. |
Reka bentuk yang gah dan kontemporari adalah penyuntik keistimewaan TCM. Anda pasti kagum kerana lampu yang dipasang di seluruh dinding di bahagian pintu utama kompleks beli-belah itu akan bertukar setiap tiga saat.
Lebih menarik jika anda menyaksikan panorama pintu utama itu selepas pukul 7 petang. Mainan tujuh warna lampu iaitu merah jambu, biru, merah, hijau, kuning, jingga dan ungu menimbulkan keterujaan.
![]() |
PANORAMA pintu utama pada waktu malam. |
Selain itu, pusat beli-belah empat tingkat dengan keluasan 700,000 kaki persegi turut memuatkan 601 unit servis apartment (Tropicana City Tropic) dan 12 tingkat ruang pejabat (Tropicana City Office Tower).
Keunikan rekaannya juga terserlah kerana TCM menggunakan bumbung berkaca yang diterangi cahaya semula jadi di bahagian tengah pusat beli-belah itu, sekali gus membuat suasana ruang legar kelihatan cerah.
Tan menjelaskan, pengunjung yang mempunyai anak kecil boleh meluangkan masa mereka singgah ke beberapa ruang hiburan untuk kanak-kanak iaitu Planet Enfant, Toys 'R' Us dan Gymboree & Kids Corner.
![]() |
PUSAT permainan untuk gologan remaja. |
"TCM ialah gedung beli-belah yang serba lengkap. Tujuan ruang hiburan kanak-kanak itu disediakan adalah untuk memudahkan ibu bapa membeli-belah dengan selesa. pembantu rumah pula dapat menemani anak-anak mereka bermain di situ.
"Bagi golongan dewasa pula, TCM menyediakan lapan dewan pawagam GSC seluas 35,000 kaki persegi," tambahnya.
Sementara itu, aspek keselamatan dan pelbagai kemudahan lain menjadi nilai tambah kepada pusat beli-belah itu.
TCM juga menyediakan perkhidmatan mengangkat barangan di ruang tempat letak kereta dua tingkat yang mempunyai 1,700 petak untuk para pengunjung.
![]() |
BUGGY untuk menghantar pengunjung ke parkir. |
Dalam pada itu, bagi pengunjung yang tidak berkeyakinan berjalan seorang diri ke parkir kereta, mereka boleh menggunakan perkhidmatan pengawal keselamatan untuk menemani.
"Pelanggan boleh mendapatkan kedua-dua perkhidmatan ini di kaunter pertanyaan tanpa sebarang bayaran. Sebenarnya kita yakin keselamatan di tempat letak kereta di tingkat bawah tidak berbahaya kerana persekitarannya luas.
"Konsep yang diterapkan pada bahagian itu ialah jalannya tidak berliku-liku manakala pengawal keselamatan ditempatkan di dalam dan luar pintu kawasan parkir kereta," jelas Tan.
Sekiranya anda malas untuk memandu kenderaan sendiri bagi menuju ke TCM, pusat beli-belah itu juga menyediakan perkhidmatan bas secara ulang-alik dari LRT Kelana Jaya secara percuma.
Perkhidmatan tersebut bermula dari pukul 9.30 pagi hingga 10.30 malam. Giliran tempoh perjalanan bas diselang-seli selama 30 minit.
![]() |
GERAI pameran lukisan Cina menggunakan gula merah. |






